Jumaat, 27 November 2009

Semangat Aidiladha



Alhamdulillah setahun lagi diberi peluang untuk meraikan sambutan Aidiladha. tahun depan tak pasti lagi kita berpeluang merasai nikmatnya lagi atau tidak. Pada 9 Zulhijah semua umat Islam yang mengerjakan ibadat Haji berada di Padang Arafah untuk berwukuf. Dibukakan padanya pintu langit untuk dimakbulkan doa. Hari ini ketika kita sedang enak menikmati pelbagai jenis juadah seperti rendang, ketupat,ayam dll sebenarnya ketika ini jemaah haji sedang bermabit di Mina. Suasana di sana hanya Allah yang maha mengetahui. Berita yang kita dengar suasana musim haji pada kali ini berlainan dari musim2 sebelum ini. Mereka diuji dengan wabak penyakit dan juga musim hujan serta banjir (Mekah dah banjir). Semoga semuanya berjalan dengan lancar dan mereka memperoleh haji yang Mabrur.Insya Allah.

Bila disebut Aidiladha ia tidak dapat lari daripada ibadah haji yang dilaksanakan bagi umat Islam yang berkemampuan dalam hal rukun Islam yang kelima ini. Pada hari tersebut juga manusia yang menunaikan ibadah haji mengenepikan soal keduniaan dengan memakai pakaian seragam ihram yang disyariatkan Islam. Ini jelas membuktikan bahawa umat Islam diakhirat nanti mempunyai darjat yang sama dan Allah mengangkat manusia yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Allah telah menjelaskan bahawa semua manusia adalah sama dan yang paling mulia adalah yang bertaqwa kepada Allah.

Dalam ibadat ihram ini juga tidak kira kaya dan miskin sama-sama mengalami nasib yang serupa iaitu berpanas terik bersama dengan pakaian yang serupa dan ia seakan-akan perhimpunan di padang mahsyar. Bagi mengimplimentasikan dalam kehidupan seharian manusia kita harus sedar bahawa kejadian manusia adalah sama dan kita haruslah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Jika kita mengkoreksi hal kehidupan kini khusunya di Malaysia, masyarakat seakan tidak mempunyai nilai kemanusiaan apabila yang miskin terus miskin dan yang kaya terus kaya, bukan sekadar itu sahaja tetapi yang kaya dan kuat ini terus menindas yang miskin dan lemah dan perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Seharusnya saling tolong menolong dan saling bantu membantu merupakan amalan asas kehidupan kita yang mana dengan cara ini sahajalah Islam akan terus dipandang tinggi.

Hari Raya Aidiladha suram jika hendak dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri sedangkan Aidilfitri dipanggil hari raya asghar (kecil) manakala Aidiladha adalah hari raya Akhbar (besar). Di Malaysia sebegitu keadaannya jika dibandingkan dengan keadaan di Negara-negara Islam yang lain.

Dari peristiwa korban ini selaku masyarakat yang dinaungi oleh institusi keluarga yang di kemudi oleh bapa dan ibu dan dianggotai oleh anak-anak harus melihat nilai-nilai kekeluargaan dari kisah Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Siti Hajar. Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s dengan perintah Allah di padang pasir yang kering kontang dan diterima oleh Siti Hajar dengan redha. Jika dilihat dari kisah ini jelas kesetiaan seorang isteri kepada suami tidak berbelah bagi dan haruslah setiap isteri di dunia ini mengadaptasikan nilai kisah ini dalam kehidupan seharian. Selain itu pendidikan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas Nabi Ismail a.s dengan kerja keras mendirikan kaabah yang tersergam indah harus diikuti oleh bapa dan anak. Pada masa kini si bapa menghidangkan hamburan material kepada anak-anak sehinggakan anak-anak tidak menghargai jasa bapa yang mencari nafkah kepada mereka dengan menderhaka kepada kedua ibu bapa.

Kisah korban ini tidak terhenti sekadar itu sahaja tetapi nilai pengorbanan haruslah di hayati agar kehidupan selaku khalifah Allah lebih berharga. Kita juga harus mengkoreksi khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dalam khutbah terakhir Baginda pada Hajjah Al-Wida’ ( haji terakhir ). Rasulullah s.a.w telah menyuruh umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah agar tidak tersesat jauh dari landasan yang benar. Dalam Kitab Al-Raheeq Al-Makhtum karangan Ahaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri ada menjelaskan tentang Hajjah Al-Wida’ ( haji terakhir ) Raulullah s.a.w.

Akhir kata selamat menghayati ibadah pada bulan Zulhijah ini dan selamat berkorban. Mulakan dengan berkorban melawan nafsu kita. Salam 10 Zulhijah dari Fadhlun dan keluarga.

Selasa, 10 November 2009

Jodohku dimanakah dikau

My Family (choop 2 lagi mana?)


Ha bila tegok tajuk macam ni mesti ada yang excited nak baca kan? Hahahaha. Sekadar perkongsian motivasi daripada satu artikel yang sempat dibaca semasa mencari bahan P&P. Saja nak keluar sikit dari kepompong artikel dunia pendidikan sempena bulan orang kawen.

Ramai yang pernah dengar lagu ikan di laut asam di darat dalam periuk bertemu juga. Tapi sedarkah kita mana mungkin ikan dan asam datang sendiri ke periuk untuk bersatu. Ada penyebabnya.Mungkin Mak Bedah yang memasukkannya atau Cik Ani yang mencampurkannya. Pasti ada penyebab yang memungkinkan keduanya bertemu, kalau tidak dengan peranan sendiri mungkin juga ada pihak lain yang menjalankannya.

Jadi persoalan jodoh ini memerlukan penyebabnya. Seseorang perlu mencari penyebab pada sebuah perkenalan dan hubungan seterusnya. Tanpa sebab, semuanya mustahil berlaku.Mana mungkin seorang yang tinggal di sebuah desa terpencil tiba-tiba dipinang oleh seseorang yang langsung tidak mengetahui kewujudannya.

Seorang rakyat Amerika Syarikat, Whitney mengahwini seorang penarik beca India selepas menaiki becanya. Wanita berusia 26 tahun itu berasal dari Chicago bertemu dengan Harish Hotala di Jaipur semasa wanita tersebut mengupah pemandu becabermotor itu membawanya melihat pemandangan ibu negeri di barat India. Pada hari ketiga perkenalan mereka Whitney mengejutkan Harisha dengan lamarannya sehingga membuatkan Harisha jatuh cinta.

Lihat. Itu membuktikan persoalan jodoh memerlukan penyebabnya. Mustahil Whitney mengahwini Harisha jika dia tidak ke India. Kalau dia datang ke India pun tanpa menyewa beca Harish tidak mungkin jodohnya akan bermula.

Contoh yang paling hampir dengan diri. Sekiranya mak saya dari sebuah kampung di Pontian tidak membantu abangnya mengasuh anak saudara dan bersekolah di Muar, dan ayah tidak berkeras untuk menjadi cikgu di Muar, mana mungkin hari ini saya ada untuk mencoretkan sesuatu diblog.

Sekiranya En Faizal, En Azlis dan En Sia tidak bertegas untuk merealisasikan MMR2, Mana mungkin begitu mudah Jun bertemu jodohnya dengan senior sendiri Faizul.

Sekiranya ada di antara kita belum bertemu jodoh, ia hanya belum bersebab untuk bertemu. Sebab itu mungkin ada, tetapi belum sampai sebab perjalanannya masih jauh atau berliku. Jadi jangan risau. Jodoh sama ada cepat atau lambat tetap ada, baik dan buruknya. Kalau tidak di sini mungkin 'disana'.

Berkahwin kadang-kadang berisiko sebagaimana kita memandu juga. Dengan pemanduan yang berhati-hati pun kita masih berpeluang ditimpa kecelakaan sedangkan sekiranya kita tidak memandu kita tidak akan terlibat dengan kemalangan.

Hidup perlu dilihat dengan mata hati supaya kita tidak terlalu menilai apa yang kita lihat sebagaimana tuah atau petaka buat kita. Dalam perjalanan yang kita sendiri tidak tahu panjang pendeknya perlulah kita lalui dengan hati yang ikhlas dan usaha yang berterusan untuk mendapat apa yang terbaik buat kita dengan mengharapkan bantuan dari Yang Mengaturkannya buat kita.

Isnin, 9 November 2009

Fitrah manusia suka benda baru

Sudah menjadi fitrah manusia suka pada benda dan suasana yang baru.Tidak hairanlah bila murid lebih teruja pada suasana yang berbeza dari kelaziman. Menjadi tanggungjawab kita pendidik mewujudkan satu suasana yang bukan saja kondusif untuk belajar tetapi berbeza dari biasa contohnya menggunakan kaedah simulasi lebih banyak berbanding bercakap sepanjang masa misalnya tajuk hari ini makanan tradisional masyarakat M'sia (sivik tahun 4), cuba kita minta murid yang pelbagai kaum yang ada di kelas kita membawa makanan tradisional masyarakat Malaysia. Ransang otak murid makanan tradisional bukan sahaja kuih bahulu, kuih bulan atau maruku tetapi makanan lain seperti rendang, capati, nasi ayam dll. Suasana P&P pasti lebih mengujakan. Cubalah!

Fitrah azali manusia suka kepada benda yang baru ini juga mendorong mereka melakukan sesuatu yang lebih drastik dan mencabar. Jika kita tidak dapat memancing minat mereka tidak mustahil mereka akan terdedah dengan aktiviti tidak sihat dan mula mencari jalan untuk memuaskan kehendak mereka dengan berbohong, ponteng, mencuri, merokok, berjudi dan akhirnya aktiviti yang lebih menyedihkan.

Apabila aktiviti ini berlarutan dan menyeronokkan, mereka akan beralih pula kepada aktiviti yang lebih mencabar seperti merompak,menyamun dan memeras ugut. Demikianlah kronologi peristiwa yang membawa kepada kebejatan moral murid masa kini.

Siapa yang harus kita persalahkan? Merekakah yang minta dijadikan begitu? keluarga yang tidak punya masa bersamakah? guru yang tidak boleh menegurkan punya angkara? Jiran yang sudah tidak mahu masuk campurkah?Atau Menteri Pendidikan yang salah?

Setiap orang punya tanggungjawab masing-masing. Menteri, Ibu bapa penjaga,guru, masyarakat, jiran tetangga,rakan wajib melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing.Elakkan daripada berlepas tangan serta beranggapan bahawa tugas kita itu talah selesai dan membiarkan guru semasa yang menggalas semuanya. Bekas guru juga perlu membimbing dan memberi peransang untuk menghadapi cabaran murid masa kini. Ibu bapa dan penjaga juga perlu sama berbincang dengan guru mencari jalan penyelesaian pada masalah ini.

Kadang- kadang rasa kecewa juga bila anak dah tidak mampu dikawal di rumah baru mereka memberikan keizinan untuk guru menegur atau merotan. Bukan menjadi guru ini kepingin sangat untuk merotan anak orang. Buat sakit badan sendiri je. Tapi bila murid berani bersuara cikgu boleh buat ape kalau saya tak hafal sifir? Cikgu, kalau tak buat / siap kerja rumah? Terfikir juga bolehkah para pendidik merealisasikan harapan dan impian pendidikan masa kini? Didikan pada kanak-kanak dan awal remaja sangat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan kecemerlangan akademik tetapi juga kecemerlangan sahsiah. Alangkah sayangnya bila murid yang pandai tapi tidak punya sahsiah yang boleh dibanggakan.