Sabtu, 14 April 2012

Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri

Dulu-dulu masa cikgu mengajar buat karangan mesti dia pesan jangan lupa masukkan kata perpatah ke peribahasa ke simpuna bahasa ke tak pun kata bidalan kalau nak tambah markah. Aicehceh masa tu fuh siap dengan penggunaan perkataan purba sekali nak dimasukkan. Lumba dengan kawan-kawan karangan siapa paling baik. Untung-untung cikgu jadikan karangan contoh boleh kerek hahahaha.

Dalam pada itu sempat juga la cikgu dengan murid berdiskusi tentang bidalan melayu lama ni. Yelah orang melayu kan memang menegur dengan cara yang halus macam tu supaya tiada yang terasa hati ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri lebih baik lagi negeri sendiri. Pernah la kami gelak apa la diingat pada hujan batu kalau dah boleh dapat hujan emas. Tapi cikgu cuma senyum je sambil kata kita yang tak biasa dengan hujan emas ni kala tak betul-betul jaga takut lupa daratan.

Bila semakin menginjak dewasa dan berpeluang melihat tempat orang baru faham mengapa hujan batu juga yang dirindu. Kadang-kadang kita lupa menilai batu yang turun ditempat kita apa mungkin ia hanya batu biasa yang dapat di tepi jalan atau batu berharga seperti zamrud, nilam atau topaz?

Namun betul la jauh perjalanan luas pemandangan. Semakin jauh kita berjalan semakin kita menghargai kemakmuran dan keindahan yang ada di negara kita. Betapa istimewanya Malaysia dihati dan betapa kita akan menghargai negara kita bilamana kita melihat dan membandingkan dengan mata dan hati sendiri Malaysia dengan negara-negara lain.

Asyik menyalak bila harga barangan naik dengan mendadak (bukan menyokong kenaikan harga barang ek cuma tak suka cara sesetengah orang kita memberontak) tapi bila berada di negara luar kita cuma diam dan akur bila terpaksa membayar barangan dengan harga yang langsung difikirkan tidak munasabah.

Contoh la (tiada kaitan dengan yang hidup atau mati ye cuma nak ingatkan diri sendiri sahaja) harga sepinggan nasi lemak kosong dengan air bila di Singapura 10dolar kita bayar sahaja walaupun dalam hati mula merungut " kalau kat malaysia ni baru 2-3 ringgit. 10 dolar ni kalau tukar duit RM fuhh....mahalnya".

Moral of the story bila ada peluang berjalanlah. Kita akan lebih banyak belajar melalui pengalaman. Pembacaan sahaja tidak membuatkan kita merasai dan menjiwai 100% apa yang dibaca.

Rabu, 11 April 2012

Dunia Suatu Persinggahan

Kehidupan di dunia adalah suatu persinggahan sebelum ke suatu tempat yang abadi yang telah dijanjikan. Bila dan dimana kita memulakan penghidupan telah kita ketahui dan bila dan di mana kita mengakhirinya tiada siapa pun yang tahu kecuali yang Maha Mengetahui. DariNya kita datang kepadaNya jua kita akan kembali.

Perjalanan kehidupan dunia bagaikan suatu pentas lakonan yang mana pemainnya adalah diri kita. Adanya kemanisan dan kepahitan yang mewarnai suka duka kehidupan. Ujian datang dan pergi bagi mematangkan diri, menjadi hikmah serta pengajaran yang berharga untuk mereka yang sentiasa bersyukur. Kepada siapa dan dalam bentuk apa ujian itu datang, hanya Yang Maha Besar juga mengkehendaki.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 64 yang bermaksud 'Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itu adalah sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui'.

Oleh itu sedarlah bahawa sepanjang kehidupan di dunia jangan langsung berperasangka buruk kepada Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-hambanya. Bersangka baik dan berfikiran positif, sentiasa berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Marilah bersama kita memperbaiki dan berusaha untuk menjaga hubungan baik kita denganNya agar penghidupan kita sentiasa dalam perlindunganNya

Sabda nabi 'Jagalah Allah, nescaya ia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya engkau akan mendapatiNya mengukuhkanmu. Bila engkau meminta, mintalah kepada Allah, bila engkau memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah'.

Ketahuilah jika satu dunia bergabung untuk menjatuhkan kita. Ianya tidak akan berhasil kecuali dengan izin dariNya jua. Begitu juga jika satu dunia bergabung untuk memberi manfaat kepada kita, ianya tidak akan berhasil kecuali dengan izin Allah jua.

Sebagai manusia yang lemah, kita tidak luput dari diuji dengan kecintaan kepada dunia. Wang, harta, takhta dan cinta memiliki daya penarik yang mampu mengikat dan melalaikan manusia.

Akhir perenggan, janganlah kita mensia-siakan masa, umur, tenaga, kekayaan dan kecintaan yang ada tanpa membuat apa-apa persediaan dan pelaburan sebagai bekal menuju kealam yang abadi. Sebagaimana yang kita ketahui apabila matinya anak adam akan terputuslah hubungannya dengan hal-hal dunia kecuali pada 3 perkara yang menghubungkannya iaitu doa dari anak yang soleh, harta yang dibelanjakan pada jalan Allah dan ilmu yang bermanfaat. Renung-renungkan dan selama beramal ;p

Isnin, 9 April 2012

Mutiara kata 1


Kekuatan tidak datang hanya pada kemampuan fizikal tetapi juga hadir bersama semangat yang tidak pernah luntur.
  1. Tanpa perancangan manusia sebenarnya merancang untuk gagal.
  2. Harta yang banyak akan habis tanpa ilmu tetapi dengan ilmu harta akan semakin berkembang.
  3. Kejayaan adalah sebuah perjalanan bukan destinasi.
  4. Semakin jauh melarikan diri dari masalah semakin masalah itu menghampiri.
  5. Setitis air boleh membelah batu. bukan kerana derasnya air itu tetapi kerana kekerapan ia menitik.
  6. Sesungguhnya hati bagi orang yang bodoh itu ada di mulutnya tetapi hati bagi orang yang bijaksana ada dihatinya.
  7. Jangan malu memberi yang sedikit kerana pemberian yang sedemikian lebih baik dari tidak memberi langsung.
  8. Orang sibuk sebenarnya tidak cekap, orang yang cekap tidak sibuk.
  9. Tiada bantal yang lebih lembut melainkan ribaan ibu sendiri.

Isnin, 2 April 2012

Salam takziah

Semalam 1 April kami sekeluarga dikejutkan dengan berita pemergian Aunti Najat Ahmad ibu saudara yang hampir dengan kami. Salam takziah buat keluarga Almarhumah. Jenazah telah dibawa pulang ke Felda Bukit Batu Kulaijaya dan disemadikan pada sebelah pagi dalam suasana yang sayu. Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang-orang yang dikurniakan nikmat.InsyaAllah.