Jumaat, 27 November 2009

Semangat Aidiladha



Alhamdulillah setahun lagi diberi peluang untuk meraikan sambutan Aidiladha. tahun depan tak pasti lagi kita berpeluang merasai nikmatnya lagi atau tidak. Pada 9 Zulhijah semua umat Islam yang mengerjakan ibadat Haji berada di Padang Arafah untuk berwukuf. Dibukakan padanya pintu langit untuk dimakbulkan doa. Hari ini ketika kita sedang enak menikmati pelbagai jenis juadah seperti rendang, ketupat,ayam dll sebenarnya ketika ini jemaah haji sedang bermabit di Mina. Suasana di sana hanya Allah yang maha mengetahui. Berita yang kita dengar suasana musim haji pada kali ini berlainan dari musim2 sebelum ini. Mereka diuji dengan wabak penyakit dan juga musim hujan serta banjir (Mekah dah banjir). Semoga semuanya berjalan dengan lancar dan mereka memperoleh haji yang Mabrur.Insya Allah.

Bila disebut Aidiladha ia tidak dapat lari daripada ibadah haji yang dilaksanakan bagi umat Islam yang berkemampuan dalam hal rukun Islam yang kelima ini. Pada hari tersebut juga manusia yang menunaikan ibadah haji mengenepikan soal keduniaan dengan memakai pakaian seragam ihram yang disyariatkan Islam. Ini jelas membuktikan bahawa umat Islam diakhirat nanti mempunyai darjat yang sama dan Allah mengangkat manusia yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Allah telah menjelaskan bahawa semua manusia adalah sama dan yang paling mulia adalah yang bertaqwa kepada Allah.

Dalam ibadat ihram ini juga tidak kira kaya dan miskin sama-sama mengalami nasib yang serupa iaitu berpanas terik bersama dengan pakaian yang serupa dan ia seakan-akan perhimpunan di padang mahsyar. Bagi mengimplimentasikan dalam kehidupan seharian manusia kita harus sedar bahawa kejadian manusia adalah sama dan kita haruslah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Jika kita mengkoreksi hal kehidupan kini khusunya di Malaysia, masyarakat seakan tidak mempunyai nilai kemanusiaan apabila yang miskin terus miskin dan yang kaya terus kaya, bukan sekadar itu sahaja tetapi yang kaya dan kuat ini terus menindas yang miskin dan lemah dan perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Seharusnya saling tolong menolong dan saling bantu membantu merupakan amalan asas kehidupan kita yang mana dengan cara ini sahajalah Islam akan terus dipandang tinggi.

Hari Raya Aidiladha suram jika hendak dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri sedangkan Aidilfitri dipanggil hari raya asghar (kecil) manakala Aidiladha adalah hari raya Akhbar (besar). Di Malaysia sebegitu keadaannya jika dibandingkan dengan keadaan di Negara-negara Islam yang lain.

Dari peristiwa korban ini selaku masyarakat yang dinaungi oleh institusi keluarga yang di kemudi oleh bapa dan ibu dan dianggotai oleh anak-anak harus melihat nilai-nilai kekeluargaan dari kisah Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Siti Hajar. Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s dengan perintah Allah di padang pasir yang kering kontang dan diterima oleh Siti Hajar dengan redha. Jika dilihat dari kisah ini jelas kesetiaan seorang isteri kepada suami tidak berbelah bagi dan haruslah setiap isteri di dunia ini mengadaptasikan nilai kisah ini dalam kehidupan seharian. Selain itu pendidikan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas Nabi Ismail a.s dengan kerja keras mendirikan kaabah yang tersergam indah harus diikuti oleh bapa dan anak. Pada masa kini si bapa menghidangkan hamburan material kepada anak-anak sehinggakan anak-anak tidak menghargai jasa bapa yang mencari nafkah kepada mereka dengan menderhaka kepada kedua ibu bapa.

Kisah korban ini tidak terhenti sekadar itu sahaja tetapi nilai pengorbanan haruslah di hayati agar kehidupan selaku khalifah Allah lebih berharga. Kita juga harus mengkoreksi khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dalam khutbah terakhir Baginda pada Hajjah Al-Wida’ ( haji terakhir ). Rasulullah s.a.w telah menyuruh umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah agar tidak tersesat jauh dari landasan yang benar. Dalam Kitab Al-Raheeq Al-Makhtum karangan Ahaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri ada menjelaskan tentang Hajjah Al-Wida’ ( haji terakhir ) Raulullah s.a.w.

Akhir kata selamat menghayati ibadah pada bulan Zulhijah ini dan selamat berkorban. Mulakan dengan berkorban melawan nafsu kita. Salam 10 Zulhijah dari Fadhlun dan keluarga.

1 ulasan:

muhsync berkata...

artikel yang cukup baik dan bagus sekali. boleh dimuatkan dalam majalah ilmiah ni... =)